
Buah-buahan amat penting kepada kanak-kanak. Ianya
kaya dengan pelbagai khasiat. Buah-buahan mengandungi komponen
karbohidrat, mineral dan vitamin. Karbohidrat di dalam buah-buahan
adalah dalam bentuk gula iaitu menyumbang kepada tenaga untuk tubuh
badan. Selain dari itu, buahan-buahan juga tinggi dengan serat yang
membantu dalam mengelakkan masalah sembelit yang seringkali terjadi
kepada kanak-kanak.
Kandungan vitamin yang tinggi
Buah – buahan adalah kaya dengan vitamin dan
mineral. Kesemua vitamin dan mineral ini adalah sangat penting dalam
membina badan yang sihat serta membantu dalam melawan jangkitan kuman.
Antara kandungan vitamin yang terdapat di dalam buahan –buahan adalah
seperti berikut:
Pisang – Kaya dengan vitamin A, B1, B2 dan C
Mangga – Kaya dengan vitamin A, E & C
Betik – Kaya dengan Vitamin C dan provitamin A
Aneka hidangan
Buah – buahan boleh dinikmati secara mentah atau
diproses. Contoh yang telah diproses adalah seperti minuman jus, kek,
dan kuih – muih. Kajian menunjukkan bahawa glukosa darah dipengaruhi
oleh jumlah gula atau jumlah karbohidrat di dalam hidangan jus, dan
bukanlah jenis gula yang terdapat di dalam jus tersebut. Pertambahan
gula di dalam jus minuman turut meningkatkan jumlah kalori dan
karbohidrat hidangan minuman tersebut. Untuk itu pastikan anda
mengurangkan penggunaan jumlah gula tambahan di dalam minuman jus si
kecil.
Sumber Antioksida
Kebanyakkan buah adalah sumber yang baik bagi
serat, yang mana paling banyak terdapat dalam bentuk serat larut.
Antioksida adalah sejenis molekul yang turut dikenali sebagai
bioflavonoid, ianya sering ditemui bersama asid askorbid secara
semulajadi. Banyak kajian menunjukkan bahawa buah-buahan mampu
mengurangkan risiko kepada penyakit seperti kanser dan kardiovaskular.
Buah- buahan sitrus dan vitamin C
Antara contoh buah-buahan sitrus adalah seperti
lemon, limau dan juga oren. Kebanyakkan buah – buahan ini mengandungi
kandungan jus yang sangat tinggi. Buah-buahan sitrus juga sangat
terkenal dengan kandungan vitamin C yang tinggi. Sebagai contoh,
kandungan vitamin C di dalam sebiji Oren adalah 65mg. Antara khasiat
buah - buahan ini adalah membantu dalam pencernaan lemak selain
mengurangkan kandungan kolesterol dalam badan. Buah oren turut
mengandungi lebih banyak vitamin A (juga di kenali sebagai
beta-karoten) berbanding buah sitrus yang lain. Buah ini juga di
percayai dapat melawan jangkitan kuman selain melindungi kita dari
penyakit kanser dan menyokong sistem imun.
Hidangan paling mudah
Buah – buahan juga adalah sejenis makanan yang
paling mudah disediakan serta dihadam. Malahan ianya juga mempunyai
potensi alergi yang paling rendah (kebanyakkan alergi adalah disebabkan
oleh komponen protein sesuatu makanan). Buahan – buahan seperti mangga
juga dipercayai dapat menurunkan suhu badan (ketika demam) serta
membantu dalam mengurangkan tekanan. Kandungan nutrien yang semulajadi
ini juga dapat membantu dalam mengekalkan sistem imun badan kita.
Sungguhpun boleh di makan begitu sahaja (tanpa
perlu dikupas), anda perlulah pastikan buah-buahan tersebut telah
dicuci terlebih dahulu sebelum diberikan kepada si kecil. Ini dapat
mengelakkan dari sebarang kotoran yang mungkin terdapat pada permukaan
buah tersebut.
Rujukan:
- The Nutrient – Dense Eating Plan: A Lifetime Eating Guide To Exceptional Foods For Super Health, Douglas L. Margel, D. C (2005)
- Diabetes Meals On The Run: Fast, Healthy Menus Using Convenience Foods, Betty Wedman – St Louis (2002)
- Staying Healthy with Nutrition, Elson M. Haas, M. D (1992)
- Kementerian Kesihatan Malaysia
No comments:
Post a Comment