ARTIKEL KESIHATAN

KHASIAT ULAM-ULAMAN

Photobucket
        SAYUR-SAYURAN dan ulam-ulaman mengandungi banyak serat (fiber) dan kurang kalori. Ia adalah kaya dengan sumber utama vitamin C, vitamin A, asid folix dan zat galian yang sangat diperlukan untuk pertumbuhan dan penjagaan tubuh badan serta minda yang sihat. Khasiat yang terdapat dalam sayur-sayuran dan ulam-ulaman ini dapat menyelenggara tisu-tisu kulit, mata, tulang, dan otak. 
          Ulam-ulaman biasanya banyak terdapat di kawasan kampung sama ada ditanam atau tumbuh sendiri di hutan-hutan yang berhampiran. Apabila pembangunan rancak dilaksanakan, banyak kawasan hutan diteroka sekali gus menyebabkan ulam-ulaman turut pupus. Berikutan itu, ulam-ulaman sukar diperolehi di kampung-kampung dan pasar-pasar termasuk pasar tani. 
     Bagaimanapun, penerokaan teknologi terkini dalam bidang pertanian membolehkan ulam-ulaman dan tumbuhan herba ditanam secara komersial dan mula dipasarkan ke seluruh negara. Sebagai contoh, ladang satelit berkelompok yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kedah iaitu satu kawasan pengeluaran ulam-ulaman dan rempah ratus bagi memenuhi keperluan harian pengguna-pengguna di kawasan bandar dan menjadi suatu prasarana yang baik untuk mengenali dunia pertanian. 
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang telah mengkaji dan mengenalpasti 62 jenis sayur dan ulam meliputi 37 jenis ulam daun atau pucuk, 16 jenis buah dan 9 jenis sayur kampung.        Bagaimanapun, menurut kajian oleh wikipedia.org, terdapat lebih 120 jenis ulam-ulaman di Malaysia meliputi ulaman jenis pucuk, daun, umbut, biji, buah, ubi dan bunga. Antara ulam-ulaman yang tersenarai ialah rebung, cekur manis, jering, kacang kelisa, petai, ulam raja, kerdas, jering, genuak, pucuk gajus, beluntas, pucuk betik, pucuk putat, daun selom, jantung pisang, pucuk ubi, nangka muda, daun kunyit/kunyit hidup, daun kesom, pegaga, daun kadok, daun salad, kacang panjang muda, pucuk mengkudu, buah mengkudu, batang lambok (sejenis keladi) dan banyak lagi.
       Usaha menyelidik ulaman oleh FAMA ini bertujuan memperkenalkan dan memasarkan ulaman kepada masyarakat dan membantu petani di kawasan kampung meningkatkan pendapatan mereka melalui hasil jualan ulam-ulaman itu nanti. Antara sayur ulam yang kurang dikenali yang diselidik oleh FAMA ialah bayam orang putih, pucuk ara, tenggek burung, kaca lima, cemperai, mata ayam, sepayang, balik angin, umbut kelapa. Manakala jenis-jenis buah ulam pula ialah buah ara nasi, gadung, peria katak, keladan, terung, peparu, dan sebagainya. 
Menurut Kajian Industri Herba di Malaysia yang telah dilaksanakan oleh MARDITECH dan dibentangkan di Hotel Nikko, Kuala Lumpur, nilai pasaran industri herba dunia dijangka akan mencecah US$5 trillion menjelang 2050. Menurut Tuan Haji Mansor Puteh, Ketua Penyelaras Teknikal bagi kajian ini, pasaran dunia herba pada 1997 yang bernilai US$60 bilion akan meningkat kepada US$200 bilion pada 2008 dan seterusnya mampu mencecah US$5 trilion menjelang 2050.


14 November 2012


MAKAN IKAN 2 KALI SEMINGGU KURANGI RISIKO STROK

Umum mengetahui bahawa makan banyak ikan, terutamanya ikan berlemak seperti ikan salmon yang mempunyai kandungan omega-3 yang banyak, dapat mengurangkan risiko penyakit jantung koronari.

Beberapa kajian yang dijalankan oleh para penyelidik menunjukkan bahawa orang yang makan ikan 2 hingga 4 kali seminggu dapat mengurangkan penyakit cerebrovascular (strok) sebanyak 6% berbanding dengan mereka yang makan ikan hanya sekali seminggu. Bagi mereka yang makan ikan 5 kali atau lebih seminggu dapat mengurangkan risiko sakit cerebrovascular sebanyak 12%.
Namun begitu, hasil kajian juga menunjukkan bahawa pengambilan suplemen omega-3 dan minyak ikan tidak ada kaitan yang signifikan dengan pengurangan risiko strok.

Kesimpulannya, bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung dan strok, kita digalakkan makan ikan segar sekurang-kurangnya 2 kali seminggu bagi mendapatkan sumber nutrien yang penting termasuklah omega-3, pelbagai jenis asid amino, vitamin dan mineral.


6 REMPAH RATUS TERBAIK UNTUK KESIHATAN


Rempah ratus dalam makanan kita adalah perkara biasa sejak zaman-berzaman, jadi kita pun tidak ambil pusing kelebihan rempah ratus tersebut. Yang kita tahu jika tiada rempah, makanan tak sedap dan hambar. Selain daripada menambah rasa sedap dalam makanan, sebenarnya rempah ratus yang kita makan setiap hari mempunyai banyak khasiat dari segi kesihatan.
Kajian di barat mendapati terdapat 6 rempah ratus, yang tidak asing lagi dalam masakan kita, sangat baik dari segi kesihatan, iaitu:


1. Lada (cili) kering



Lada (cili) kering (seperti cili segar) mengandungi sebatian capsaicin yang memberi rasa pedas. Sebatian ini berkhasiat bagi mengurangkan risiko kanser kolon dan kanser kulit. Namun begitu, kita perlu berhati-hati membeli cili kering kisar yang dijual di kedai kerana kebanyakannya mengandungi asid borik atau bahan pengawet lain yang karsinogen (penyebab kanser). Sebaik-baiknya kisar sendiri cili kering.


 2. Buah Pala


Buah pala mengandungi sebatian anti-bakteria bagi membantu melawan bakteria seperti E. coli dan salmonella.

3. Jintan

Jintan mengandungi bahan anti-radang dan antioksidan bagi membantu menghentikan pertumbuhan tumor kanser.

4. Kunyit

Kunyit mengandungi bahan aktif curcumin yang mampu menghalang sel-sel kanser merebak dan membantu menghindari diabetes Type-2. Perahan air kunyit hidup juga sering diambil oleh ibu-ibu yang baru lepas bersalin supaya peranakan (uterus) mengecut dengan cepat.

5. Kulit kayu manis


Pengambilan 1/4 hingga 1/2 camca teh serbuk kulit kayu manis setiap hari dapat membantu menurunkan kandungan gula, paras LDL (kolesterol tidak baik) dan triglyceride dalam darah bagi pengidap penyakit diabetes Type-2.



6. Halia



Halia mengandungi bahan yang dapat menghilangkan rasa mual, dapat meredakan pedih ulu hati dan kembung perut serta buang angin yang berlebihan dalam badan. Sebaik-baiknya gunakan halia yang segar kerana ia lebih efektif.

No comments:

Post a Comment